PENGISYTIHARAN KEMERDEKAAN

Pada 31 Ogos 1957 bertempat di stadium yang baru dirasmikan iaitu Stadium Merdeka, Kuala Lumpur telah
menyaksikan peristiwa bersejarah bagi Tanah Melayu iaitu secara rasminya
penyerahan pemerintahan Persekutuan Tanah Melayu daripada pemerintahan British
kepada warganegara Tanah Melayu.
Hujan lebat yang turun
sejak 3 pagi menyukarkan pergerakan dan sehingga 6.30 pagi, stadium masih belum
dipenuhi oleh pengunjung. Ini menyebabkan upacara telah ditangguhkan selama
sejam dan pengumuman majlis bermula kedengaran bukan pada pukul tujuh seperti
yang dijangka tetapi pada pukul lapan. 2,000 orang tentera Persekutuan
menumpang di sekolah-sekolah berhampiran stadium sebelum itu berarak dalam
hujan dan tujuh batalion yang membuat perarakan ketika itu iaitu Rejimen
Persekutuan, Skuadron Isyarat, Skuadron Jurutera, Tentera Laut Diraja Tanah
Melayu, Tentera Laut Simpanan Diraja Tanah Melayu dan Askar Sivil Persekutuan.
Pada pukul 8, para
media telah diberi pengumuman untuk bersedia dan semua peralatan kamera dan
media ketika itu dipasang dengan perlindungan plastik atau pelapik kalis air
lain di sekitar padang yang lembap. Kebetulan, hujan reda yang memungkin segala
persiapan sebelum upacara bermula dapat dijalankan dengan mudah. Pengunjung
bertambah ramai untuk menyaksikan upacara bersejarah ini.
Antara kumpulan
pengunjung yang tiba di stadium adalah Kadet, Pengakap Laut (dengan pakaian
putih, topi putih dan seluar pendek berwarna biru), Pandu Puteri (berpakaian
biru muda), Pengakap (dengan kain skaf, berwarna merah dan emas, merah dan
hitam, merah dan biru, merah dan putih), Pasukan Briged St. John's Ambulance
dan Palang Merah British turut mengambil tempat di sisi stadium manakala
kumpulan pancaragam dan pengawal kehormat berada di susur terowong masuk.
Kemudian,
tetamu-temamu kehormat mula tiba Lord Chancellor dari England berpakaian yang sama seperti
ketika dia menjadi hakim Mahkamah Tinggi Persekutuan. Pemangku Yang di-Pertuan
Besar Negeri Sembilan
merupakan Raja Melayu yang pertama berangkat tiba diikuti Tengku Mahkota Johor (dalam pakaian uniform tentera baginda)
yang menggantikan Sultan Johor, Sultan Perak (berpakaian berwarna krim), Sultan Terengganu (berpakaian emas bersama merah
gelap dan hijau), Sultan Kelantan (berpakaian
emas pucat), Sultan Kedah (berpakaian biru dan perak) Raja Perlis (berpakaian emas), Sultan Pahang (berwarna merah senduduk dan dan perak)
serta yang akhir sekali, baginda Yang di-Pertuan
Agong yang berpakaian perang serta memakai keris yang baru. Setiap
daripada baginda diiringi bunyi nafiri dan berdiri di bawah payung kuning
keemasan sambil Yang di-Pertuan Agong berjalan ke tempat duduk baginda.
Pengunjung stadium masih lagi berdiri apabila Duke of Gloucester masuk sambil
diiringi Sir Donald MacGillivray. Dengan ketibaan semua tetamu diraja, upacara
Pengisytiharan dimulakan.
Adikung Duke membawa
watikah perlembagaan yang menyatakan pengunduran daripada perlindungan British
terhadap negeri-negeri Melayu dan kedaulatan terhadap Pulau Pinang dan Melaka. Raja-raja Melayu mula melangkah ke
pentas dan Duke mengambil tempat di depan pentas sambil menerima hormat diraja
sambil diiringi oleh Sir Donald MacGillivray. Ketika itu merupakan kali
terakhir satu-satu upacara negara menyanyikan lagi kebangsaan British di Persekutuan
Tanah Melayu. Kemudian, baginda Duke membacakan perutusan daripada baginda Ratu Elizabeth II akan pernyataan baginda
yang mengalukan kemasukan Persekutuan ke dalam Komanwel dan mendoakan kejayaan negara
ini.
Kemudian, Perdana
Menteri Tunku Abdul Rahman bangun dari tempat duduknya dan menerima watikah
perlembagaan sebagai lambang penyerahan kuasa pemerintahan sepenuhnya kepada
Persekutuan Tanah Melayu. Duke mengambil tempat duduk dan Tunku mulakan
ucapannya dalam bahasa Inggeris.
Setelah Tunku mengucapkan penghargaan kepada Great Britain atas pertolongan
untuk mencapai kemerdekaan, beliau mula membaca teks "Pemasyhuran
Kemerdekaan".
Pengisytiharan itu
disambut dengan laungan "MERDEKA" sebanyak 7 kali sebagai Perdana
Menteri Persekutuan
Tanah Melayu yang pertama di hadapan 20 ribu rakyat Persekutuan
Tanah Melayu dan Raja-rajanya serta perwakilan dari 30 negara-negara Komanwel dan negara-negara asing lainnya. Bendera Persekutuan Tanah Melayu telah
dinaikkan dengan iringan Lagu Kebangsaan Negaraku
yang buat pertama kalinya diperdengarkan secara rasmi dalam sebuah negara baru.
Diikuti pula selepas itu dengan seruan azan oleh tokoh agama Islam iaitu Datuk Hassan Azhari sebagai simbolik
lahirnya sebuah negara baru dimana Islam, merupakan agama rasmi Persekutuan
Tanah Melayu dan tembakan meriam seratus satu das.
Dengan bunyi nobat
nafiri, Yang di-Pertuan Agong diiringi oleh Duke of Gloucester, berangkat pergi
dari pentas diikuti pemerintah Melayu yang lain, Perdana Menteri dan Sir Donald
MacGillivray. Kemudian, Doa Selamat dibacakan bagi memohon keberkatan dan
keredhaan Allah terhadap sebuah negara yang baru dilahirkan. Dengan pengisytiharan
itu, maka berakhirlah penjajahan Inggeris dan kuasa
Baginda Ratu Elizabeth II
ke atas Persekutuan Tanah Melayu termasuk Pulau Pinang dan Melaka iaitu sejak lebih 170 tahun. Pada hari
itu juga Pesuruhjaya Tinggi British yang terakhir di Persekutuan Tanah Melayu,
Sir Donald MacGillivray dan isterinya telah meninggalkan negara ini dan pulang
ke England.
No comments:
Post a Comment